kad_topik7_tidur_final.png

Pernahkah anda terjaga di tengah malam kerana sakit, kemudian esoknya rasa sakit itu menjadi lebih teruk?

Atau sebaliknya, selepas beberapa malam tidak cukup tidur, badan terasa lebih mudah sakit dan lebih sensitif kepada sakit?

Jika ya, anda tidak bersendirian.

Dalam post ini, kita akan menyelami hubungan rapat antara kesakitan dan tidur, satu hubungan dua hala yang memainkan peranan besar dalam kesakitan kronik, tetapi sering diabaikan.

🔹

SEKERAP MANAKAH MASALAH INI?

Angka-angka yang direkodkan dalam literatur perubatan memang membimbangkan.

Dalam kalangan masyarakat umum, lebih kurang 10 peratus mengadu kualiti tidur yang buruk.

Tetapi dalam kalangan pesakit kesakitan kronik, angka itu melonjak kepada sekitar 50 peratus, dan bagi pesakit fibromialgia, ia boleh mencecah sehingga 70 peratus.

Satu kajian klinikal turut mendapati hampir 44 peratus pesakit kesakitan kronik mempunyai gangguan tidur yang jelas, antaranya insomnia (sekitar 72 peratus), apnea tidur (sekitar 32 peratus) dan sindrom pergerakan anggota berkala semasa tidur (sekitar 32 peratus).

Maksudnya, jika anda menghidap kesakitan kronik dan sukar tidur, itu bukan kebetulan.

Ia adalah sebahagian daripada penyakit itu sendiri, dan ia perlu diberi perhatian yang serius, bukan sekadar dianggap perkara biasa.

🔹

TIDUR BUKAN 'SWIT OFF', OTAK MASIH BERFUNGSI

Ramai orang menyangka tidur adalah masa otak berhenti sepenuhnya, macam koma atau bius semasa pembedahan.

Hakikatnya tidak begitu.

Semasa tidur, otak masih memproses maklumat daripada persekitaran: bunyi, sentuhan, dan ya, rasa sakit.

Itulah sebabnya ibu yang tidur nyenyak boleh terjaga apabila bayinya menangis, dan itulah juga sebabnya pesakit kesakitan boleh terjaga apabila rasa sakit meningkat pada waktu malam.